Daisypath Anniversary tickers

Monday 2 April 2012

Sampai Bila??

Dari Abu Hurairah r.a bahawa nabi SAW telah bersabda: ”Allah sentiasa memperkenankan doa seorang hamba selama doa itu tidak mengandungi (perkara) dosa, (perkara yang) memutuskan silaturrahim dan selama tidak meminta supaya cepat-cepat diperkenankan.” Lalu baginda ditanya oleh seseorang: ”Apa maksudnya meminta dicepatkan?” Jawab baginda: ”Umpamanya seseorang itu berkata dalam doanya:  Aku telah berdoa, aku telah berdoa tetapi aku belum melihat doaku diperkenankan. Lalu aku putus asa dan berhenti berdoa.”


=======================================================================



Anas bin Malik RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Telah berkata Malaikat Jibril AS: “Wahai Tuhan, Engkau sampaikanlah maksud dan hajat hamba-Mu si fulan … Maka Allah SWT menjawab: “Biarkan hamba-Ku itu, kerana Aku mencintai suaranya (yang selalu bermohon dan meratap kepada-Ku)”.
Hadis ini begitu dalam maknanya iaitu tentang hubungan sulit dan rahsia antara hamba dengan Allah SWT. Sesiapapun tidak berhak mengganggu-gugat kekuatan cinta keduanya. Disebabkan cinta manusia yang mengharap dan berdoa dan kerana rahmat-Nya juga Dia merindui ratapan dan rayuan si hamba.
Telah kering air mata pengharapan, jatuh membanjiri dinding hati, yang memegang janji-Mu Ilahi. Adakah doa ini tiada didengar ataukah kekotoran roh yang menghijab kurniaan Allah? Tangisan dan rintihan rupanya tidak sia-sia, tetapi umpama bisikan rindu yang dikasihi al-Rahman.
Jika kita boleh memilih dan berkuasa atas kehidupan kita sendiri maka segala-galanya akan tercipta sesuai dengan keinginan kita, tetapi kita tidak berhak atas hidup yang seperti ini kerana yang mencipta dan memilih adalah Allah sahaja. Sebagai hamba yang lemah dan amat bergantung kepada belas ihsan-Nya kita hanya boleh berusaha dan berdoa. Allahlah yang akan menentukan apa yang terbaik bagi diri kita. Firman Allah SWT: “Dan Tuhanmu menciptakan apa yang dirancangkannya berlaku dan Dialah juga yang memilih, tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapapun memilih (selain dari pilihan Allah). Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaan-Nya dari apa yang mereka sekutukan dengan-Nya. Dan Tuhanmu Mengetahui dari apa yang terpendam dalam hati mereka dan apa yang mereka zahirkan.” (Surah al-Qasas: Ayat 68-69)
Mengapa manusia cepat berputus asa ketika berdoa? Bukankah doa itu adalah sebagai ujian keimanan bagi mereka yang bersungguh-sungguh bermujahadah. Alangkah ruginya orang yang berhenti berdoa kerana merasa jemu menunggu dan menunggu harapan yang tak terjawab. Bukankah doa Nabi Musa dan Harun AS pada Ayat 88 surah Yunus yang berisi tentang permintaan keduanya agar Firaun dibinasakan akhirnya terjawab setelah 40 tahun berdoa? Kalau anda tidak sesabar Nabi Allah Musa dan Harun, eloklah anda teliti hadis berikut ini.
Diriwayatkan dari Abu Sa’id al-Khudri RA; Bahawa telah bersabda Nabi SAW: “Tidak ada seorang Muslim yang membaca doa di mana tiada pada doanya itu hal-hal yang menimbulkan dosa dan memutuskan hubungan silaturrahim melainkan Allah pasti akan memberikan kepada orang itu dengan doanya salah satu dari tiga macam. Adakalanya Allah segera memperkenankan doanya. Adakalanya doanya itu dijadikan oleh Allah sebagai simpanan pahala di akhirat. Dan adakalanya Allah memalingkan dan menghindarkan sebarang kejahatan (bala dan bencana) daripada orang tersebut sesuai dengan doanya.” Berkata para sahabat: Kalau begitu lebih baik kita memperbanyakkan doa! Nabi SAW bersabda: Allah SWT akan memperbanyakkan pemberian-Nya. (Hadis riwayat Imam Ahmad dan al-Hakim, katanya semua perawinya adalah sahih)
Tidak sedikitpun kerugian akan berlaku jika anda sering memanjatkan doa. Yang pasti, tiga janji akan Allah SWT berikan kepada mereka yang bersungguh-sungguh berdoa. Akan tetapi perlu diingat ada faktor-faktor yang boleh menjejaskan doa itu daripada dikabulkan oleh Allah SWT, iaitu:
1. Terburu-buru dan berputus asa.
Nabi SAW bersabda: Doa salah seorang daripada kamu akan diperkenankan oleh Allah asal saja seseorang itu tidak terburu-buru lalu ia mengatakan: Aku telah berdoa tetapi doaku belum diperkenankan.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
2. Menggunakan rezeki dari sumber yang haram.
Nabi SAW bersabda dengan menyebut tentang seorang lelaki yang jauh perjalanannya, kusut rambutnya, berdebu badannya, mengangkat kedua tangannya ke atas langit sambil berdoa: Ya Rabbi, Ya Rabbi, sedangkan makanannya dari harta yang haram, minumannya dari harta yang haram, pakaianannya dari harta yang haram dan mulutnya disuapkan makanan yang haram, maka bagaimana akan diperkenankan doanya?” (Hadis riwayat Muslim).
Teruskanlah meminta dan berharap kepada Allah kerana Ia tidak pernah menyalahi janji-Nya. Yang perlu diingat ialah bukan anda yang memilih apa yang akan terjadi pada diri anda tetapi Allahlah yang berhak memilihkannya untuk anda. Begitu juga dengan persoalan bilakah masanya Allah akan mengabulkan doa anda itu? Ia adalah hak Allah semata-mata kerana Dia Maha Mengetahui masa yang paling sesuai dan baik untuk diberikannya apa yang anda minta daripada-Nya

4 comments:

  1. terburu-buru dan berputus asa - memang perasaan yang tak dapat dinafikan..tapi itulah yang Allah uji untuk golongan kita yang payah pregnant ni..

    ReplyDelete
  2. Perasaan sedih tiapkali bendera merah or one line memang akan hadir. Tapi kena cepat-cepat bounce balik dari kekecewaan, kerana Allah tidak menjadikan sesuatu perkara itu dengan sia-sia.

    Insyaallah, doa kita semua TTCians akan dimakbulkan oleh Allah.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum..
    Salam Kenal,
    singgah sini dari blog Umaira Umar..

    ReplyDelete
  4. Salam eMMe,

    Selamat berkenalan. Terima kasih sudi menyinggah.

    ReplyDelete